Lintas Semak Sistem Gantungan - Nissan Xtrail T32

Nissan Xtrail T32 (Kredit: Wikipedia)

Nissan Xtrail model T32 adalah kesinambungan generasi-generasi Xtrail T30 dan T31. Ia mula diperkenal di Malaysia pada 2015. Kerana penulis memiliki model ini, ia menjadi model pertama dalam siri lintas semak sistem gantungan.

Casis Xtrail T32 memanfaatkan formula yang ringkas dan terbukti dengan sistem gantungan bebas topang MacPherson untuk gandar hadapan dan gantungan bebas multi lengan untuk belakang.

Xtrail T32 mempunyai pengendalian yang stabil dan selamat dengan respons stereng yang baik walaupun keselesaan ridenya agak keras dengan pergerakan yang agak ‘sibuk’ di atas permukaan jalan yang beropol-ropol, lebih-lebih lagi untuk penumpang baris kedua dan ketiga. Bunyi dari tayar dan kekasaran jalan juga agak kuat dibanding dengan SUV model lain terutama dari kategori premium.

Sistem gantungan hadapan - jenis bebas, MacPherson

Gandar hadapan Xtrail, seperti yang dinyatakan, menggunakan topang MacPherson yang memberikannya kelebihan dari segi peruangan untuk sistem pacuan gandar hadapan. Xtrail hadir dengan dua varian iaitu enjin 2.0L dengan pacuan hadapan dan 2.5L dengan pacuan empat roda.

Gandar belakang pula menggunakan sistem multi lengan, namun dengan konfigurasi yang amat ringkas iaitu sistem tiga lengan. Terdapat lengan membujur, lengan sisi atas dan lengan sisi bawah yang melengkapkan sistem ini. Lengan sisi atas dan bawah dipasang pada sub-kerangka, manakala lengan membujur disambung terus pada badan kenderaan.

Gandar hadapan Xtrail T32 menggunakan topang MacPherson yang dipadankan dengan pembawa roda dari material besi tuang. Pembawa roda pula disambung dengan sub-kerangka hadapan dengan lengan pengawal.

Lengan pengawal dibuat dari keluli tertera (stamped sheet metal). Sistem gear stereng disambung dengan pembawa roda menerusi rod ikat yang diletak di belakang pusat roda.

Lengan pengawal dari keluli tertera

Kelebihan topang MacPherson untuk SUV bandar memang tidak dinafikan. Ini kerana, SUV bandar jarang-jarang bertugas di atas permukaan ‘offroad’ yang tidak berturap dan berlubang-lubang, oleh yang demikian sistem gantungan hadapan tidak perlu kepada jenis yang lebih lasak seperti sistem tulang selangka berkembar (double wishbone) yang lebih cekap mengendalikan daya-daya pemanduan yang lebih besar seperti pemanduan ‘offroad’. Jadi memadai sistem MacPherson yang ringkas digunakan, tanpa defisit prestasi yang mungkin dapat dikesan oleh rata-rata pemandu model ini.

Gandar hadapan - bar anti-oleng dan rod penyambung

Bar anti-oleng dipadankan dengan rod penyambung yang diikat terus pada badan peredam. Reka letak ini membolehkan nisbah pergerakan bar anti- oleng dan roda yang hampir sama yang seterusnya memerlukan diameter bar yang lebih kecil (berbanding bar yang disambung pada lengan pengawal).

Rod penyambung pula disambung pada cagak pada badan peredam. Berdasarkan gambar di atas sebelah kiri, terdapat dua cagak, satu di hadapan badan peredam, dan satu lagi dibelakang. Pemasangan rod penyambung pada cagak belakang menggalakan perubahan sudut toe kepada sifat ‘toe-out’ pada roda luar selekoh sewaktu membelok, yang meningkatkan sifat ‘understeer’ dan tahap kestabilan Xtrail T32.

Seterusnya, lengan pengawal disambung terus kepada sub-kerangka hadapan menerusi sambungan yang dibina dari sesendal getah untuk faktor kawalan roda dan juga NVH (Noise, Vibration & Harshness). Struktur sebegini semakin biasa didapati pada semua kenderaan memandangkan terdapat keperluan yang tinggi untuk mengawal daya-daya pelanggaran yang memberi kesan kepada prestasi rempuh sesebuah model. Sub-kerangka jenis segi empat biasa digunakan untuk menyerap daya pelanggaran dari arah hadapan dan mengurangkan impak kepada ruang kabin. Strategi ini digunapakai dengan gabungan komponen-komponen lain pada bahagian badan kenderaan.

Sub-kerangka jenis segi empat di mana lengan pengawal disambung

Pada lengan pengawal, cagak hadapan dan belakang yang menggunakan sesendal elastomer (komponen getah) dipastikan kedudukannya agar ia memberikan kesan anti yang diperlukan sewaktu memecut dan membrek. Sewaktu memecut, kesan anti-dongak dipastikan mengurangkan dongakkan bahagian hadapan kenderaan, manakala anti-junam mengurangkan junaman sewaktu membrek. Sudut-sudut cagak hadapan dan belakang pada lengan pengawal memastikan kesan kinematik ini dicapai.

Sesendal belakang pada lengan pengawal

Sesendal belakang pada lengan pengawal mempunyai beberapa fungsi. Antaranya, memastikan prestasi NVH yang baik pada permukaan kasar, mengurangkan kesan impak sewaktu melanggar halangan berbucu atau kasar, dan memastikan kesan understeer dari segi roda luar selekoh yang ‘toe-out’ ketika dikenakan daya sisi menerusi teknik lenturan. Dapat dilihat pada sesendal Xtrail ini, sebahagian kawasan sesendal direkabentuk dengan ruang kosong (void) untuk memaksimakan kesan-kesan di atas tanpa mengurangkan fungsi-fungsi kawalan yang lain dan integriti ketahanan komponen.

Seterusnya, gandar belakang hadir dengan sistem multi lengan dengan tiga lengan pengawal. Lengan pertama adalah lengan membujur yang juga berfungsi sebagai pembawa roda, seterusnya kedua lengan sisi bawah yang mengawal daya membelok dan sudut toe, dan ketiga lengan sisi atas yang berpasangan dengan lengan sisi bawah mengawal daya membelok dan juga perubahan sudut kamber sewaktu roda menganjak.

Sistem gantungan bebas multi lengan pada gandar belakang, jenis tiga lengan pengawal

Lengan membujur terdiri dari gabungan beberapa sub-komponen keluli tertera yang dikimpal untuk membentuk lengan dengan bentuk kompleks. Ini kerana, lengan membujur Xtrail harus berfungsi sebagai pembawa roda, pembawa beban tegak kenderaan (di mana tapak spring belakang didapati) dan pembawa beban membujur iaitu daya membrek (bagi varian pacuan roda hadapan) dan daya memecut (bagi varian pacuan empat roda). Ia juga menempatkan cagak untuk peredam belakang yang disambung di antara sub-kerangka dan lengan membujur.

Lengan sisi atas dibuat dari aloi aluminum berperanan sebagai pengawal sudut kamber sewaktu membelok dan juga menyalurkan daya sisi membelok ke sub-kerangka. Ia juga menjadi tapak tempat penahan hentakan (bump stop) bersentuh apabila roda menganjak ke atas. Ini memastikan roda tidak melepasi julat anjakan roda dan menghentam badan kenderaan.

Sistem tiga lengan dari pandangan bawah. Kelihatan lengan membujur dan lengan sisi bawah. Beban spring ditampung lengan membujur, begitu juga daya dari peredam belakang.

Lengan sisi bawah pula dibuat dari keluli tertera dan menempatkan cagak penyambung untuk rod penyambung bar anti-oleng belakang. Lengan sisi bawah adalah komponen utama yang menyalurkan daya membelok ke badan kenderaan di dalam selekoh.

Sub-kerangka gandar belakang dan bar anti-oleng belakang. Kelihatan lengan sisi atas dan bawah (lengan atas dari material aloi aluminum)

Bar anti-oleng belakang dipasang pada sub-kerangka dan disambungkan dengan lengan sisi bawah untuk mengawal pergerakan oleng sewaktu kereta membelok. Sub-kerangka untuk varian pacuan hadapan ini mempunyai ruang yang banyak kerana rekabentuk yang sama dikongsi dengan varian pacuan empat roda. Pada varian ini, sub-kerangka belakang menempatkan kotak pembeza dan syaf pemacu pada gantungan belakang.

Dapat diperhatikan di sini juga adalah kecondongan peredam belakang. Ini menjadikan nisbah pergerakan rod peredam berbanding pergerakan menganjak roda kecil, dan memerlukan daya peredam yang tinggi untuk mengawal pergerakan kenderaan dan roda. Dalam kata lain, nisbah pemasangan peredam ini adalah tidak efisyen, namun ia adalah kompromi proses rekabentuk untuk memaksimumkan ruang kabin untuk menempatkan tempat duduk baris ketiga.

Kedudukan rod penyambung bar anti-oleng belakang

Dapat dilihat di sini lengan sisi atas dan bawah. Pada lengan sisi bawah, terlihat titik sambungan antara rod penyambung dan bar anti-oleng belakang.

Lengan sisi bawah dengan bolt pengawal sudut toe dan kamber

Seperti lengan pengawal hadapan, lengan membujur belakang juga memainkan pelbagai peranan penting untuk memastikan prestasi kinematik dari segi geometri anti (anti-dongak dsb.), kesan lenturan untuk efek ‘toe-in’ sewaktu membelok dan keselesaan ride dioptimumkan.

Apa yang pasti, sistem gantungan Xtrail T32 ini adalah biasa bagi sebuah SUV bandar yang menggunakan sistem gantungan bebas. Ia sesuai untuk kegunaan am, namun jika dipandu lasak di atas jalan ‘off-road’ sudah tentu pelbagai aspek prestasi rekaan gantungan ini akan menemui pelbagai masalah terutamanya dari segi kelegaan dasar yang tidak cukup, jumlah anjakan roda yang terhad dan juga ketahanan komponen berbanding SUV- SUV tradisional seperti Toyota Land Cruiser atau Mitsubishi Pajero dengan gantungan dan komponen lebih lasak. Memadai jika Xtrail T32 dibanding terus dengan pesaingnya seperti Honda CRV dan Toyota Rav4 yang juga berkongsi kategori yang sama.

Ulasan